malaysia news

Ubati fizikal, rohani ketika menunaikan haji

Petua menjaga lidah, sabar suami isteri serta mendoakan jemaah sakit sebagai panduan menghadapi cabaran musim haji.

“Apa tip atau petua yang ustaz mahu pesan pada kami?. Saya nak pesan supaya Abang Razman dan Kak Fidah jaga tiga perkara iaitu sabar dalam interaksi suami isteri, jaga hati dan doakan orang sakit di sekeliling kita sepanjang berada di Tanah Suci” Usai solat Zuhur dalam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada baru-baru ini, saya disapa-soal Razman Sobhi.. Dia dan isterinya Nor Affedah adalah petugas UIAM yang bertuah dijemput menunaikan

haji pada tahun ini setelah membuat rayuan selama tujuh tahun sejak 2019.. Benarlah haji ialah jemputan Allah.. Selagi belum dijemput, usahanya tidak akan membuahkan hasil.. Sabda Nabi SAW: Tetamu Allah itu ada tiga kumpulan iaitu orang yang berperang (pada jalan Allah), para jemaah haji dan orang yang mengerjakan umrah (Sunan al-Nasa’i, 3121).. Ibadat haji berbeza dengan ibadat lain kerana ia melibatkan pengorbanan harta, jiwa raga dan fizikal.. Secara umumnya, para jemaah haji perlu menjaga tiga

adab utama sebagaimana firman Allah: Ertinya: (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh berlaku lucah, berbuat fasik dan membantah dalam mengerjakan haji.. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya (al-Baqarah 2:197).. Berdasarkan pengalaman sendiri, penulis menasihati Razman secara spesifik agar memberi perhatian kepada tiga perkara, iaitu: Pertama: menjaga lidah dan hati dengan teliti.. Tanah Haram Mekah sangat istimewa.. Sebarang

niat jahat terus dihukum oleh Allah dengan dosa.. Ia ditegaskan Allah melalui FirmanNya: Ertinya: Sesungguhnya (amatlah zalim) orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid al-Haram (Mekah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman), sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapan sesiapa yang berazam melakukan sebarang perbuatan terlarang dengan zalim, kami akan merasakannya azab yang tidak terperi

sakitnya (al-Hajj 22:25).. Menurut para ulama tafsir, sebarang tingkah laku yang buruk walaupun sekadar niat sahaja sudah ditulis sebagai dosa oleh Allah jika ia ditekadkan di Mekah (Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Qurtubi).. Hal ini berlaku berikutan kemuliaan Tanah Haram yang tiada di tempat lain.. Tidak hairanlah jika banyak kita dengar kisah ajaib berlaku di sana.. Ada yang kehilangan selipar selepas mengutuk jemaah Pakistan berkaki ayam di luar masjid.. Ada yang sesat setiap kali masuk

ke Masjidilhharam selepas mulutnya lancang mengejek jemaah yang terlupa pintu masuk ke tempat suci dari hotel tempat tinggal.. Ada yang kehilangan beg tangan selepas bergurau sinis mengutuk pekerja hotel yang berbau badannya seperti kambing dan banyak lagi.. Kedua: menjaga tingkatan sabar dalam hubungan antara suami isteri.. Pesanan ini sangat relevan kepada semua pasangan suami isteri yang menunaikan haji.. Semua tahu hubungan suami isteri tidak terlepas daripada salah faham.. Bak pepatah, lagikan lidah pun boleh tergigit,

apatah lagi hubungan suami isteri.. Namun, gigitan bibir yang kecil di Tanah Suci boleh mencetus luka besar yang parah sehingga ada pernah berlaku suami isteri bercerai ketika menunaikan haji.. Oleh itu, sikap toleransi antara pasangan perlu dipertingkatkan.. Praktik segera pesanan Nabi agar diam atau hanya bercakap dengan kata-kata yang baik (Sahih al-Bukhari, 6018 & Sahih Muslim, 47).. Jika berlaku perselisihan, perlu tahu beralah dan segera mohon bantuan bimbingan dari Allah empunya Tanah Suci Mekah.. Ketiga:

segera mendoakan orang di sekeliling kita yang kelihatan sakit atau diuji dengan batuk dan demam.. Ujian kesihatan semasa musim haji sangat mencabar kerana Tanah Suci Mekah dikunjungi jutaan manusia dari seluruh dunia.. Kadar jangkitan kuman juga mudah berlaku.. Oleh itu, langkah pencegahan fizikal dan ‘rohani’ perlu dibuat dengan rapi.. Pencegahan fizikal sudah dimaklumi semua, bagaimana pula dengan pencegahan rohani?. Caranya dengan mempraktikkan kaedah doa khusus yang Nabi SAW ajar: Ertinya: Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya

secara rahsia (tanpa diketahui saudaranya), malaikat yang bertanggungjawab dalam urusan doa akan mengaminkannya dan berdoa (untuk si pendoa): “bagimu (habuan doa) yang sama sepertinya” (Sahih Muslim, 2732).. Doa secara rahsia tanpa pengetahuan saudara kita menunjukkan kemuncak keikhlasan dalam berdoa.. Keikhlasan ini menjadi punca sesuatu doa senang diterima Allah.. Inilah sebabnya generasi orang soleh lampau apabila mahu berdoa untuk diri sendiri, mereka akan turut mengumumkannya untuk seluruh umat Islam demi memudahkan penerimaan Allah (Syarh Sahih Muslim

oleh Imam al-Nawawi).. Indahnya, pada hujung hadis di atas, Rasulullah menyatakan para malaikat yang mendengar doa kita itu akan turut mendoakan kita.. Jika kita mendoakan kesejahteraan serta kesihatan saudara kita yang sakit dalam musim haji, para malaikat secara rasmi akan bersungguh mendoakan kesejahteraan serta kesihatan kita pula pada waktu sama.. Insya Allah ia menjadi pencegahan sakit secara rohani yang berkesan di samping pencegahan fizikal.. Kaedah doa rahsia untuk saudara kita ini terpakai dalam semua situasi

hidup dan tidak hanya terbatas untuk musim haji.. Ia secara tidak langsung merealisasikan maksud al-Quran betapa orang beriman itu bersaudara (al-Hujurat 49:10).. Ayuh kita semua berdoa agar semua jemaah haji tahun ini dikurniai kesihatan, kesejahateraan dan ganjaran haji mabrur.. Lalu pulang ke tanah air masing-masing dengan jiwa yang suci.. Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

haji mabrur, doa rahsia, sabar suami isteri, menjaga lidah dan hati, Tanah Haram Mekah, kesihatan musim haji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Secret Link